Wednesday, March 18, 2009

Makan malam Parti Keadilan Rakyat Negeri Pulau Pinang- Malaysiakini

















BUKIT JAMBUL - Sistem ekonomi seharusnya diatur dengan tepat dan betul untuk memastikan rangsangan bajet mini bernilai RM60 bilion yang direncanakan pihak kerajaan akan menjadi kenyataan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanpa kawalan dan tanggungjawab, misi tersebut sukar untuk dicapai.

Beliau turut menyatakan keraguannya mengenai keberkesanan rangsangan bajet mini yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat sebagai dasar penting, namun kesannya haruslah dirasai oleh seluruh rakyat.

"Sepatutnya kita semua belajar daripada pengalaman lalu yang pernah kita alami sebelum ini, jika rangsangan bajet mini tersebut tetap diteruskan, gunakanlah dengan cara yang baik," katanya.

Anwar turut menyatakan Pakatan Rakyat (PR) bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negara bagi keselesaan rakyat.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Pertama Kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Hotel Equatorial, kelmarin.

Anwar memberitahu, sekiranya perasaan perkauman sentiasa ada dalam diri, kemajuan negeri dan negara takkan dapat dicapai.

"Kita memang tidak boleh lari daripada masalah tetapi ketidakadilan haruslah dielakkan. Sikap konsisten harus diamalkan dengan menunaikan janji yang pernah ditabur," katanya.

Majlis makan malam sempena ulang tahun pertama kemenangan PKR tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin; Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim; Speaker Dewan Undangan Negeri, Abdul Halim Hussain dan Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow.

Sementara itu, Anwar turut memohon Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk mengerah tenaga bersama jentera untuk meningkatkan kempen pada pilihan raya kecil di Bukit Selambau.

"Saya berharap kita akan beroleh kemenangan di ketiga-tiga pilihan raya kecil itu agar dapat kita berikan mesej yang jelas kepada pihak kerajaan bahawa sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada kita untuk mentadbir negara," katanya lagi.

No comments:

APCO satu penjajahan bentuk baru

AYUH KITA BERAMAI-RAMAI KE KUALA LUMPUR NYATAKAN BANTAHAN

AYUH KITA BERAMAI-RAMAI KE KUALA LUMPUR NYATAKAN BANTAHAN