IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim. Sehubungan dengan itu Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Jamalludin Al Amini Ahmad dilantik untuk memangku tugas Setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa serta merta.
(Foto : Dato' Dr.Abdul Rahman Bin Hashim)
Itu adalah beberapa keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco pimpinan beliau di ibu pejabat PAS negeri, tengah malam tadi.
Petang semalam, Mohammad Nizar turut menggantung tugas Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkuat kuasa serta merta sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
(Foto : Y.B. Dato' Jamalludin Al Amini Bin Ahmad )
Pada pagi esok, Mohammad Nizar berkata, beliau akan mempersembahkan permohonan untuk menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah Sultan Azlan Shah.
"Bukan menghadap, kami hanya mengemukakan permohonann untuk menghadap," katanya pada sidang media yang diadakan kira-kira pukul 12.30 malam tadi.
(Foto : Ahmad Kamal Bin Md Shahid)
Mohammad Nizar berkata, beliau dan kesemua Exconya akan memulakan tugas seperti biasa pada pukul 7.15 pagi ini.
Beliau juga berkata, mesyuarat tersebut memutuskan untuk meneruskan dasar-dasar yang diputuskan oleh kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) selama tiga bulan yang boleh membawa manfaat kepada rakyat.
Selain itu katanya, V Sivakumar masih merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sah.
Katanya, Datuk R Ganesan yang dilantik oleh BN sebagai Speaker DUN adalah tidah sah kerana masih belum mengangkat sumpah.
Sehubungan itu kata beliau, apa juga kemungkinan sidang DUN tergempar yang akan dibawa BN pada pagi ini adalah tidak sah.
"Untuk mengadakannya, mereka mesti memberi notis," katanya.
Petang tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah.
Dengan keputusan itu, persoalan mengenai siapakah Menteri Besar yang sah - antara Nizar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang menyebabkan negeri itu dilanda krisis politik sejak Februari lalu akhirnya terjawab.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN. Mstar.
No comments:
Post a Comment