Wednesday, November 4, 2009

Laporan PAC : Kos tanah projek PKFZ 67% lebih tinggi dari biasa - Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini melaporkan bahawa kos tanah bagi bagi setiap kaki persegi dalam projek Pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) adalah RM41.76 iaitu 67 peratus lebih tinggi daripada harga RM25 yang ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Laporan itu menyatakan jika tanah bagi projek itu diperolehi mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960, kerajaan hanya perlu membelanjakan RM442.13 juta dan menjimatkan sejumlah RM645.87 juta.

Selain itu, pengenaan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun bagi bayaran balik tanah secara tertunda sebelum perjanjian jual beli ditandatangani oleh Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) Datin Paduka O.C Phang telah menyebabkan berlaku pengenaan caj dua kali terhadap kerajaan.

Ini kerana semasa JPPH menetapkan harga tanah pada RM25 sekaki persegi, jabatan itu telah mengambil kira faedah sebanyak 7.5 peratus untuk bayaran balik tertunda selama 15 tahun.

PAC juga mendapati bahawa kelulusan dari kerajaan tidak diperolehi berhubung pengenaan kadar faedah tersebut.

"Pengenaan kadar faedah ini menyebabkan LPK perlu membayar kos pembelian tanah berjumlah RM1.088 bilion di samping faedah tambahan berjumlah RM730 juta menjadikan jumlah pembayaran RM1.818 bilion," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, Phang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan gagal mematuhi arahan dari kerajaan dan Kementerian Kewangan dalam urusan perolehan tanah itu untuk projek PKFZ.

Selain itu, arahan Ketua Setiausaha Perbendaharaan supaya tanah bagi projek itu diperolehi secara pengambilan balik mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 dan dibiayai melalui peruntukan Kementerian Pengangkutan dan kemudiannya disewa pajak kepada LPK juga tidak dipatuhi.

Jawatankuasa itu juga mendapati tindakan Phang menandatangani perjanjian jual beli termasuk membangunkan infrastruktur bernilai RM1.088 bilion adalah menyalahi peraturan kewangan kerajaan kerana beliau tidak mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan.

Tindakan Phang juga didapati tidak selaras dengan kehendak Port Authorities Act 1963 yang menetapkan bahawa beliau perlu mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengarah LPK terlebih dahulu.

Laporan itu juga menyatakan bahawa LPK wajar memastikan bahawa pemaju projek PKFZ iaitu Kuala Dimensi Sendirian Berhad (KDSB) telah melaksanakan semua kerja infrastruktur seperti yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli tanah sebelum menjelaskan semua bayaran harga tanah yang akan tamat pada 2017.

Malah jawatankuasa itu turut mendapati pelantikan KDSB sebagai pemaju oleh LPK tidak dibuat secara teratur kerana Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Pengurus Besar LPK itu gagal mematuhi arahan Kementerian Kewangan berhubung perkara itu.

KDSB telah dilantik sebagai kontraktor oleh LPK bagi projek pembangunan PKFZ secara rundingan terus.

Laporan itu menyatakan bahawa pada Jun 2001, Kementerian Kewangan menetapkan kontrak kerja pembangunan dibuat secara tender terbuka dan kos pembangunan projek PKFZ dibiayai melalui terbitan bon jangka panjang dengan jaminan kerajaan.

Perjanjian jual beli tanah yang ditandatangani KDSB dan LPK pada November 2002 juga mensyaratkan KDSB dilantik sebagai kontraktor pembangunan PKFZ walau pun kelulusan dari Kementerian Kewangan tidak diperolehi untuk dikecualikan dari proses tender.

Menurut laporan itu, kelulusan dari Kementerian Kewangan adalah perlu bagi membolehkan tapisan dibuat untuk menentukan tahap keupayaan kewangan dan kepakaran KDSB melaksanakan projek yang melibatkan perbelanjaan yang begitu besar.

"Kegagalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Pengurus Besar LPK mematuhi arahan Kementerian Kewangan dan memohon kelulusan dari kerajaan berhubung dengan pelantikan KDSB sebagai pemaju projek adalah merupakan satu kesalahan dan tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka," syor laporan itu. - BERNAMA

No comments:

APCO satu penjajahan bentuk baru

AYUH KITA BERAMAI-RAMAI KE KUALA LUMPUR NYATAKAN BANTAHAN

AYUH KITA BERAMAI-RAMAI KE KUALA LUMPUR NYATAKAN BANTAHAN