Oleh: Huzaifah Ahmad Yamani
Saya pernah berdiskusi hangat dengan seorang teman. Dia kata, jangan mudah melatah dengan mainan media Umno. Semuanya berkaitan isu Unity Government-lah…apa lagi. Saya marah juga, kerana yang mula gatal-gatal buka mulut isu UG ini ialah Pak Presiden PAS. Jika ia keluar dari Lidah Bergerigi Presiden Umno, okaylah. Saya tak kisah. Tapi kerana ia keluar mula-mula dari mulut Tuan Guru yang mengarang kitab tafsir, jadi rujukan sebagai teks usrah, yang mengarang kitab seerah hingga berjilid. Maka, saya jadi pening. Kenapa…kenapa mesti datang dari Tuan Guru, bukannya Hamid Albar, Pak Lah atau Najib Razak sendiri?
“Isk…anta jangan cepat melatah. Anta dah baca apa ‘full statement’ daripada TGHH?” Demikianlah ujar kawan saya.
Saya menung…full statement? Yang saya tahu, idea UG ini mula-mula keluar ialah menerusi akhbar tabloid SIASAH beberapa bulan dahulu. Semuanya bermula dengan cadangan Tuan Presiden PAS, setelah dilihat kemelut politik negara yang tak berkesudahan…sedang Malaysia bakal dihimpit dengan masalah ekonomi yang mencengkam. Maka, dianggap rakyat makin muak dengan kemelut politik. Maka, dicadangkanlah sebuah UG – Kerajaan tanpa pembangkang. Sama macam Indonesia kini…saya rasa, itulah yang saya baca, yang saya fahami dan yang dipertegaskan berulang kali. Entahlah, jika saya ‘mamun’ dan tersalah baca, tersalah faham dan tersalah tangkap maksud Presiden PAS yang ‘murni’ itu.
Kawan saya menegaskan lagi: Seorang presiden mestilah membaca dan menghitung semua segi dan semua sudut sebelum mengeluarkan idea UG ini. Anta jangan cepat hilang keyakinan!”
Jenuh juga saya memikir. Saya ini ahli PAS kerdil, tak ada jawatan apa-apa. Maka, mungkin benarlah…Presiden selaku orang besar, pasti menilai dari semua aspek sebelum sesuatu ideanya terkeluar kepada public.
Tup-tup, isu UG jadi hangat - sehangat mentari petang di bumi sahara. Garing dan membakar apa sahaja. Rupa-rupanya, isu UG ini isu peribadi. Ia bukan lahir dari pemurnian idea yang dibahas secara matang dalam mana-mana mesyuarat tertinggi parti mahu pun pakatan. Tup-tup TGNA marah. Tup-tup Lim Guan Eng marah. Tup-tup Presiden Kelab Penyokong PAS marah. Eh…kenapa semua ini terjadi? Jika idea sudah dimurnikan terlebih dahulu, pastinya semuanya jelas. Pasti dalam muktamar yang ke 55 dahulu, isu UG ini tidak timbul lagi. Tapi, kenapa ia terus ‘menggelegak’?
Saya juga ditegur seorang sahabat, katanya: “TGHH mungkin bimbang jika PAS bersama PR…kerana kelak bakal didominasi oleh non-muslim. Maka, apakah akan terjadi kelak kepada Malaysia?”
Lah…sampai ke situkah pemikiran TGHH? Entah…saya tak ada nombor hand phone beliau, jika tidak mungkin saya sudah mendapat jawapan segera daripada beliau.
Namun, saya mengandaikan…itu semua telahan. Masakan sebelum TGHH menandatangani persefahaman di antara DAP dan PKR, semua ini – isu perkauman, komposisi agama dan negeri – tidak diambil kira. Jika TGHH main ‘sain’ sahaja, alamak…careless-nya Tuan Presiden saya. Ini bukan soal main-main, ini hal serius. Ia isu negara. Pakatan adalah kerajaan di lima buah negeri termasuk Perak satu masa dahulu.
Bahkan kerajaan menanti di Malaysia. Apakah TGHH tersilap…tidak, fikir saya memujuk diri.
Maka, ada yang menyatakan: “Jika PAS bersama Umno, maka kelak akan menguntungkan Melayu-Islam. Buktinya, MCA sudah memberi amaran agar Umno tidak menerima PAS.” Demikianlah pula ilham seorang kawan yang lain.
Wah-wah…semuanya makin cerdik menganalisis dan membuat hipotesis. Saya…hanya teringat sejarah. Saya tak arif mengenai seerah nabi, tapi TGHH karang kitab seerah hingga tiga jilid.
Semasa Nabi Muhammad SAW dan para pengikutnya berhijrah ke Habsyah…apa agamanya Raja Najasyi? Begitu juga saat mereka berhijrah ke Madinah…apakah komposisi agama dan kaum di sana? Tidakkah wujudnya pluralisme di Madinah. Tapi Nabi tegar ke sana juga. Lalu terakam dalam sejarah, nabi menyatukan semuanya dalam satu ikatan yang bernama ‘Piagam Madinah’. Piagam yang berupa perjanjian – antara lain – antara Islam dan bukan Islam. Hm…takkah sedikit sebanyak, perjanjian yang ditandatangani oleh PAS dalam usaha membentuk PR adalah seumpama persetujuan nabi dengan non-muslim dalam Piagam Madinah? Maksud saya…adakah wajar perjanjian itu diengkari…walau atas nama apa sekali pun? Apatah lagi jika PAS yang mula mencabulinya…? Isk…amat tidak wajar sekali!
Makanya, fikir saya…atas nama apa sahaja, adalah satu kewajipan bagi PAS mempertahankan roh dan kekukuhan perjanjian itu. Tugas utama PAS bersama Pakatan Rakyat adalah memecah belahkan Umno, menggoyahkan Umno dan jika boleh menghancur-leburkan Umno. Bukankah ini doa yang selalu disebut oleh PAS. Ya…doa di dalam qunut Nazilahnya.
Maka, apakah cerdiknya idea UG ini…yang dilihat oleh ramai pihak – lebih kepada menjadi ‘talian hayat’ kepada Umno di saat mereka sudah kehilangan tabung oksigen-nya?
“Huh! Saya akan keluar PAS jika PAS nak bersama Umno!”
Inilah luahan hati seorang lelaki separuh baya yang baharu beberapa tahun menandatangani borang keahlian PAS. Itu baharu seorang meluahkan emosinya. Fikirkan jika berjuta ahli lain memikirkan perkara yang sama!
Dicilok dari PerakExpress
No comments:
Post a Comment