Sunday, February 8, 2009

Mohon Sembah Derhaka - Malaysiakini

Nizar Jamaludin telah mencipta ungkapan yang akan menjadi klasik dan akan menjadi renungan. Ia bertali-tali dalam SMS, diulang sebut dalam Facebook dan lain-lain wahana. Apa yang berlaku adalah proses perundingan dan pentakrifan kolektif budaya politik Melayu.
Nizar dititah undur sebagai menteri besar dan menteri besar itu “menyembah mohon derhaka,” satu ungkapan yang oxymoron kerana pantang Melayu menderhaka kepada raja. Derhaka dalam erti kata yang mudah adalah tidak patuh kepada raja. Dalam konteks sistem politik dimana sultan memiliki kuasa mutlak derhaka adalah satu perlanggaran yang berat.
Tetapi kita tidak hidup di zaman rex non potest peccare - raja tidak melakukan kesalahan, titah raja adalah hukum dan sentiasa benar. Tetapi kini raja diikat oleh perlembagaan. Nizar melakukan sesuatu yang terdapat dalam peruntukan perlembagaan, negeri Perak, perlembagaan yang sama mengikat Sultan Perak. Maka Nizar tidak derhaka. Tetapi Nizar bercakap dengan Sultan, maka laras bahasanya perlulah mengikut bahasa pertuturan rakyat bercakap dengan Sultan.
Namun betulkah pantang Melayu menderhaka kepada raja? Tun Perak melakukan tindakan yang menderhaka kerana tidak membunuh Hang Tuah seperti yang diarahkan oleh sultan. Hang Tuah difitnah melakukan hubungan sulit dengan salah seorang gundik raja dan bendahara tersebut tahu laksamana itu tidak bersalah dan beliau tahu yang salah adalah sultan yang menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Tindakan bendahara menyembunyikan Hang Tuah tidak diketahui sultan sehinggalah baginda memerlukan laksamana tersebut untuk menewaskan Hang Jebat. Sekiranya sultan tahu bendahara tidak melaksanakan hukuman mati tersebut sebelum Hang Jebat memberontak sudah pasti bendahara akan diistihar derhaka dan dihukum mati.
Tetapi tradisi persuratan Melayu tidak mencemoh Tun Perak sebagai derhaka. Bahkan beliau melihat keingkarannya kepada perintah sultan sebagai satu tindakan yang berani dan adil. Berani kerana melakukan sesuatu yang boleh menggadai nyawanya sendiri, dan adil kerana tidak bersekongkol dengan kesilapan dan kezaliman yang dilakukan oleh sultan. Tetapi Tun Perak hidup dizamannya dan dalam sistem zaman itu. Dia tidak boleh “menyembah mohon derhaka”.


Ada tiga bentuk budaya politik Melayu berhubungan dengan kekuasaan. Yang pertama ditujukan oleh Hang Tuah, kesetiaan membuta tuli, menerima raja tidak melakukan kesalahan- rex non potest peccare-, kedua ditampilkan oleh Hang Jebat dengan ungkapan raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah, keadilan mesti ditegakan meskipun langit runtuh. Dan ditengah-tengah kedua kutub pendirian ini kita melihat sikap Tun Perak, orang yang tahu mana yang adil dan mana yang zalim dan untuk menegakan keadilan terdapat cara-cara yang berbeda dan pilihan tersebut menuntut kebijaksanaan.Tun Perak adalah bendahara kesultanan Melaka yang teragung dan dibawah pemerintahanan Melaka menjadi sebuah empayar yang kaya dan makmur. Tun Perak adalah arkitek kepada pax Malacca satu keteraturan serantau, perdagangan bebas dan kehidupan sosial yang amat kosmopolitan. Di situ juga bermula sistem perundangan dan peraturan, dan tanpa system perundangan dan peraturan ini Melaka tidak boleh wujud sebagai empayar yang makmur dan pusat perdagangan Asia.Suatu ketika dahulu satu generasi muda mengagung-agungkan penderhakaan Hang Jebat yang berakhir kepada porak peranda di Melaka. Jika kita ingin mengambil perbanding dengan dinamika pergelutan politik dan sosial dizaman Revolusi Perancis kita boleh mengolongkan Hang Jebat sebagai seorang Jacobin, golongan radikal dalam revolusi tersebut yang idealismenya dinodai oleh Reign of Terror yang mereka hasilkan.Revolusi Perancis selain dari satu pemberontakan sosial dan politik untuk menggantikan rejim lama, Ancien Regime, juga satu revolusi yang didorong oleh idea-idea dari Pencerahan Eropah Benua. Dalam kemelut yang dihasilkan oleh revolusi tersebut berlaku satu perdebatan agong intelektual, antara Edmund Burke dengan Thomas Paine.Edmund Burke adalah seorang reformis yang amat sedar dengan pemerintahan kuku besi sistem raja multlak. L’etat cest moi- Beta adalah Negara, kata raja Perancis Louis XIV. Maka apabila rakyat bangun menuntut perubahan dan keadilan Edmud Burke pada mulanya mengalu-alukan perkembangan di Perancis tersebut. Tetapi apabila beliau mula melihat revolusi itu telah menghasilkan kekacauan dan terdapat segolong elit England yang ingin memproposikan revolusi tersebut maka dia mengangkat pena dan menulis karya agong Reflections on the Revolution in France. Renungan itu disambut dan disanggah oleh Thomas Paine The Rights of Man yang juga satu karya besar.

http://www.khalidjaafar.org/

1 comment:

Pak ngah said...

Secara teknikal nya Tun Perak tu tak derhaka, kerana Sultan tak tau, kalau Sultan tau sebelum kes Jebat derhaka, dah tentu Tun Perak dihukum bunuh.
Nizar ni lain, dia terang2 declare derhaka, disokong pulak oleh pengikut2nya yang mcm sekolah tak cukup gi baring kat depan kereta raja.
Apa yang nak dipertahankan sangat, jawatan tu Tuhan bagi, tak kira la 11 bulan atau 11 tahun, bila Tuhan tarik balik, reda je lah.
Saidina Umar, Saidina Othman dan Saidina Ali kena bunuh bila "disuruh turun" tapi ni tak berlaku pada Nizar, so dengar la cakap boss walaupun tak suka.
Lain la kalau Sultan suruh sembah tok pekong, togok arak, main perempuan...itu baru la kena bangkang habis2an.
Setiap yang berlaku ada hikmahnya.

APCO satu penjajahan bentuk baru

AYUH KITA BERAMAI-RAMAI KE KUALA LUMPUR NYATAKAN BANTAHAN

AYUH KITA BERAMAI-RAMAI KE KUALA LUMPUR NYATAKAN BANTAHAN