Sunday, August 30, 2009

Berebut untuk tolak jawatan - Malaysiakini

Di kala Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik dalam kegeringan untuk menghadapi kematian, beliau terbaring di katil istana. Keliling baginda Khalifah, dipenuhi dengan pembesar-pembesar kerajaan, termasuk yang hadir adalah Omar bin Abdul Aziz.

Omar ketika itu amat bimbang namanya dicalonkan sebagai khalifah sebagai pengganti Khalifah Sulaiman. Lantaran itu, beliau memerhatikan Roja’ bin Haywah yang merupakan penasihat utama Khalifah, sebagai isyarat agar mereka berdua boleh berbicara sebentar.

Ketika mereka berdua beredar dari berada di keliling Khalifah Sulaiman, Omar Abdul Aziz berkata, “wahai Roja’, Demi Allah, aku berpesan kepadamu atas nama Allah dan Islam, bahawa jangan sekali-kali kamu mencalonkan namaku sebagai pengganti Khalifah” Omar bin Abdul Aziz memberi pesanan.

“jawatan ini amat berat, aku tidak mampu untuk memikulnya, terutama ketika mengadap Allah SWT di akhirat nanti” sambung Omar lagi.

Roja’ memahami kebimbangan Omar itu. Dengan nada yang bersungguh, Roja’ berkata, ”Aku tidak melihat orang yang lebih layak untuk jawatan ini melainkan kamu. Apakah kamu mahu menempa dosa dengan melihat kemudharatan berlaku jika kamu tidak menerima jawatan ini?” soal Roja’ sambil mukanya merenung wajah Omar yang dilihat berpeluh didahinya.

Omar tidak mampu berkata apa-apa pun, melainkan jantungnya berdegup kuat kerana bimbang namanya dicalonkan sebagai pengganti Sulaiman bin Abdul Malik bagi jawatan Khalifah.

Kemudian Roja’ kembali semula kepada Khalifah Sulaiman yang sedang kegeringan.

”siapakah yang kamu nampak lebih layak menggantikan aku untuk jawatan Khalifah ini, Wahai Roja’?” soal Khalifah Sulaiman kepada penasihat utamanya.

”tuanku tidak perlu khawatir dan bimbang. Bertaqwalah kepada Allah. Insya Allah, Allah akan memberikan jalan yang terbaik dalam urusan ini” jawab Roja’ dengan nada yang tegas.

Dengan bibir yang kering, wajah yang pucat, Khalifah Sulaiman bertanya, ”siapakah gerangan yang kamu nampak layak wahai Roja’?”

”omar bin Abdul Aziz wahai tuanku” Roja’ melemparkan cadangan.

Dalam wajah kepucatan itu, Khalifah Sulaiman tersenyum seraya berkata, ”demi Allah, Omar terlalu layak untuk jawatan ini. pilihan itu amat tepat sekali. Pun begitu, aku berwasiat agar selepas Omar, orang yang mengambil tampuk pemerintahan ini adalah Yazid bin Abdul Malik”

”sengaja aku tidak memilih Yazid sebagai khalifah sebagai ganti aku, kerana aku bimbang keluarga Abdul Malik akan mewujudkan fitnah dalam rebutan kekuasaan ini” sambung Khalifah Sulaiman.

Wasiat ini didengari oleh ramai pembesar-pembesar kerajaan, dan ia disokong ramai tanpa sebarang bangkangan pun.

JAWATAN SATU BEBAN

Jawatan merupakan bebanan. Ia bukan kemuliaan, seperti anggapan sesetengah ahli politik yang tamak. Di zaman kini, jawatan menjadi satu rebutan. Semuanya bersebab, apabila dengan jawatan, mereka dapat mencapai kehendak nafsunya dengan jalan yang mudah.

Golongan salaf terdahulu, mereka akan menolak sebarang jawatan yang berbentuk amanah ini. pada mereka, itu semuanya merupakan kesangsaraan hidup mereka di akhirat; iaitu dikala mengadap Allah SWT.

Diceritakan bahawa ada seorang qadhi sedang menghadapi nazak kematian. Qadhi tersebut beranggapan bahawa selepas kematiannya, pasti anak lelakinya akan dilantik jawatan itu.

Qadhi itu memanggil anak lelakinya, lalu meminta agar anak lelakinya itu mencium kedua-dua belah telinganya. Apabila anaknya itu mencium, didapati telinga sebelah kanannnya berbau wangi, dan telinga sebelah kirinya berbau busuk.

Anak lelakinya itu kepelikkan, seraya bertanya, ”mengapa telinga bapa berbau wangi pada yang kanannya, dan berbau busuk pada kirinya?”

Qadhi itu menjawab, ”wahai anakku, bapa pernah melakukan satu kesilapan yang besar. Bapa pernah berhukum dalam satu kes, yang bapa hanya mendengar sebelah pihak sahaja. Ekoran itulah, telinga bapa berbau busuk sebelahnya”

”wahai anakku, bapa beranggapan, bahawa selepas kamatianku, pasti kamu akan dilantik untuk jawatan yang sedang bapa pegang ini” sambungnya, ” Wahai anakku, apakah kamu mahu menerimanya?” soal Qadhi itu kepada anak lelakinya.

Anaknya itu berfikir sejenak. Dahinya berkerut. Tangannya diletakkan di dagu seakan-akan sedang berfikir dengan rasional untuk jawatan yang akan dibebankan itu.

”wahai bapaku, aku tidak sanggup menanggung bebanan yang berat ini” jawab anak lelaki itu dengan tegas.

Mendengar jawapan anaknya, Qadhi tersebut mengangguk kepalanya menandakan bersetuju.

Setelah kematian Qadhi, anak lelakinya itu kebingungan. Dia berfikir apakah cara yang paling baik untuk dia mengelakkan dirinya daripada dilantik oleh Khalifah sebagai Qadhi.

Akhirnya, anak lelaki itu telah bertindak seperti orang gila. Dia mengambil pelepah tamar, dan ditunggang pelepah itu seperti dia menunggang kuda, sambil mulutnya membunyikan suara seperti hentakan tapak kaki kuda.

Khalifah melihat keadaan anak lelaki Qadhi yang hendak digantikan bapanya. Melihat keadaan itu, Khalifah telah bertindak melantik orang lain bagi jawatan tersebut. Setelah jawatan itu dilantik kepada orang lain, barulah anak lelaki tersebut beransur-ansur mengubah daripada seperti orang gila kepada orang waras.

Kisah ini amat jelas, bagaimana golongan salaf terdahulu amat tidak meminati sebarang jawatan yang ditawarkan. Mereka tidak mahu jawatan itu, kerana mereka tahu, sebarang kesilapan dan kelalaian dalam menunaikan amanah menyebabkan mereka terbeban ketika mengadap Allah SWT nanti.

Apakah wujud lagi keadaan ini di zaman sekarang???

No comments:

APCO satu penjajahan bentuk baru

AYUH KITA BERAMAI-RAMAI KE KUALA LUMPUR NYATAKAN BANTAHAN

AYUH KITA BERAMAI-RAMAI KE KUALA LUMPUR NYATAKAN BANTAHAN